KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), anak syarikat MMC Group memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan Concord Alliance Sdn Bhd (Concord) untuk meneroka dan membangunkan projek penjanaan tenaga berasaskan biogas.

Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama antara satu sama lain bagi membangunkan, mengendali dan menyelenggara projek-projek tenaga boleh diperbaharui termasuk penjanaan tenaga beraskan biogas dan biomass, yang akan dikenal pasti bersama.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan kajian daya maju bagi tujuan menilai kebolehlaksanaan projek terbabit dibangunkan.

Perjanjian dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali manakala Concord diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Khairuddin Mohd Hussin.

Mengulas perjanjian itu, Ahmad Fuaad berkata kerjasama bematlamat untuk menghasilkan biogas dijana daripada aliran kumbahan kilang sawit (POME) bagi menjana tenaga elektrik.

Apa yang lebih penting, ia katanya akan mengelak pengeluaran biogas dijana oleh POME ke dalam atmosfera bagi memelihara alam sekitar.

“Projek penjanaan tenaga biogas dan biomass membentuk sebahagian daripada strategi Malakoff untuk mengembangkan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan menyumbang ke arah mencapai sasaran kerajaan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan RE Malaysia kepada 20 peratus menjelang 2025.

“Concord dipilih sebagai rakan kami disebabkan oleh keupayaan dan pengalamannya dalam membangunkan, membina, mengendali dan menyelenggara projek-projek penjanaan tenaga biogas,” katanya dalam satu kenyataan.

Malakoff ketika ini memiliki 50 peratus kepentingan dalam Macarthur Wind Farm di Victoria, Australia, yang mempunyai kapasiti penjanaan sehingga 210MW.

Awal tahun ini, Malakoff memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Touch Meccanica Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan beberapa projek RE.

Dalam pada itu, anak syarikat miliki penuhnya, Teknik Janakuasa Sdn Bhd (TJSB) memperoleh kontrak mengendali dan menyelenggara loji kuasa photovoltaic solar 29MWac berskala besar di Kota Tinggi, Johor.

Terkini, Malakoff memeterai Perjanjian Jual Saham Bersyarat bersama HICOM Holdings Bhd untuk membeli 97.37 peratus kepentingan ekuiti dalam Alam Flora Sdn Bhd bagi memudahkan pengembangan Malakoff ke dalam perniagaan berkaitan alam sekitar, seperti pembangunan projek bahan buangan menjadi tenaga (WTE).